Polis Thailand lancar operasi besar-besaran kesan ejen kosmetik diculik dari Kelantan



KOTA BHARU: Polis Thailand menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan wanita yang diculik dari Tumpat, Kelantan sejak 13 September lepas.

Ketua Polis Narathiwat, Pol General Wan Seman Wan Salleh berkata operasi mengesan mangsa yang berusia 36 tahun itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu terlibat membawa wanita berkenaan.

"Selepas pihak kami menerima gambar suspek dan juga mangsa dari PDRM melalui Polis Kelantan, operasi mengesan digerakkan.

"Atas semangat hubungan baik di antara Polis Kelantan dan juga Polis Thailand, serta jalinan kerjasama rentas sempadan, kami membantu mengesan mangsa.

"Operasi digerakkan serta-merta hingga ke hari ini," katanya ketika dihubungi.


Katanya lagi, setakat ini beberapa premis melibatkan sebuah stor simpanan barangan, hotel, dan rumah telah diserbu selepas menerima maklumat.

Bagaimanapun, penjenayah berkenaan dan mangsa masih belum berjaya ditemui.

Wan Seman berkata gambar mangsa dan suspek turut diedar ke 19 balai polis daerah dalam wilayah Narathiwat.

"Kami edarkan gambar suspek dan mangsa ke semua balai polis dalam wilayah Narathiwat dan sempadan wilayah Narathiwat termasuk di Pattani dan Songkla.

"Di balai polis yang berhampiran sempadan Kelantan, iaitu balai Polis Takbai, Waeng, Sungai Golok dan juga Buketa, telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan," katanya lagi.

Operasi besar-besaran yang turut dibantu Unit Risikan Thailand setakat semalam belum menemui kawasan persembunyian penjenayah dan juga lokasi mangsa.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan reman tiga individu termasuk suami mangsa disambung sehingga 20 September.

Sebelum ini ketiga tiga individu berkenaan menjalani reman selama selama 4 hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Jelas Muhamad Zaki, pihak Polis Thailand masih menjalankan operasi mengesan kedudukan mangsa.

Pada masa sama, polis juga memohon kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.


Join our Telegram Channel
Telegram