Saya tukang tulis menifesto PH je – Wan Saiful



KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan beliau hanya menjadi penulis manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut beliau, ketika manifesto itu dirancang pada Januari 2018 dia masih belum menjadi ahli Bersatu dan bukan anggota jawatankuasa manifesto PH.

Wan Saiful berkata, ketika dia menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu beliau diarahkan untuk menulis sahaja manifesto itu tanpa perlu memberikan pandangan.

“Dalam mesyuarat itu Rais pengerusi. Ada AJK lain Sim daripada DAP, Datuk Zul daripada Amanah, PKR saya tak ingat dan Syed Saddiq ada sekali.


“Syed Saddiq ini dia boleh kata pada saya, dia panggil saya sir masa tu, tak apalah kita tukang tulis waktu itu. Sir you are not a member of our party, you not even a member of this committee, your job is to write.

“Saya dok fikir siapa dia pulak budak ini, kita tanya soalan yang bagi saya rasional. Orang lain senyap, jadi saya kata tak apalah, kerja saya tulis, saya tulislah,” kata Wan Saiful.

Menurutnya, beliau telah menimbulkan dua isu iaitu penghapusan tol dan janji melibatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dalam mesyuarat berkenaan.

Isu terbabit, menurut beliau, tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mengetahui kos sebenar.

“Saya tanya kos berapa janji nak hapuskan tol ini. Tak ada jawapan.


“Saya kata boleh tak sebelum kita setuju masukan. Kita jumpa dulu Tan Sri Syed Azman Mokhtar sebab di bawah dia ada beberapa buah syarikat besar bawah Khazanah macam PLUS contohnya yang ada data kos konsesi tol. Kita dapatkan data dulu,” katanya.

Manakala manifesto berkaitan PTPTN melibatkan dua janji iaitu untuk menghapuskan sekatan perjalanan.

Janji kedua adalah peminjam hanya perlu membayar semula selepas gaji mereka mencecah RM4,000.

“Saya tanya kos dia berapa? Kalau gaji sampai RM4,000 berapa tahun untuk orang muda lepas graduate nak capai gaji Rm4,000. Sebab selagi tak sampai RM4,000 tak payah bayar. Siapa nak tanggung ini? Duit sudah keluar.

“Saya ingat lagi bila saya timbulkan dua persoalan ini dalam mesyuarat yang dibuat di ibu pejabat (Bersatu) di Petaling Jaya, masa itu saya bukan ahli lagi pada Januari 2018,” katanya dalam satu video yang tular di media sosial.


Video itu turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah di laman Facebook beliau hari ini.

“Anda komen dulu. Saya nak fikir kejap apa saya nak komen pasal ni,” katanya ringkas.

PH menghadapi kemarahan rakyat selepas gagal melaksanakan penghapusan tol dan janji melibatkan PTPTN dalam manifestonya selepas berjaya menjadi Kerajaan pada PRU-14.

Bersatu merupakan sebahagian rakan sekutu PH sebelum bertindak keluar pada Februari 2020 sehingga menumbangkan Kerajaan PH pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MG



Please subscribe





Join our Telegram Channel
Telegram