Syarikat crypto.com tak sengaja pindah RM47 juta ke akaun wanita



Platform dagangan mata wang kripto, Crypto.com secara tidak sengaja dilaporkan telah memindahkan RM47 juta kepada seorang wanita di Australia.

Menurut The Guardian, pindahan amaun tersebut dibuat setelah ketika proses bayaran balik berjumlah RM450 dilakukan.

Difahamkan bahawa, syarikat itu gagal menyedari kesilapan tersebut selama tujuh bulan.

Syarikat itu secara tidak sengaja telah memindahkan wang itu kepada seroang  wanita di Melbourne pada Disember 2021, selepas tujuh bulan kesilapan itu dibuat.


Crypto.com, yang beroperasi sebagai Foris GFS di Australia, telah membuat pemindahan bernilai RM 47 juta dan bukannya jumlah bayaran balik sebanyak RM 450.

Kesilapan itu terjadi kerana mereka secara tidak sengaja memasukkan nombor akaun wanita tersebut ke dalam medan jumlah pembayaran.

Syarikat itu mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Agung Victoria pada awal tahun ini, dan pada Februari, akaun bank wanita tersebut dilaporkan telah dibekukan.

Namun begitu, kebanyakan wang telah dipindahkan ke akaun lain yang kemudiannya juga dibekukan.

Perbicaraan di mahkamah menyatakan bahawa RM6 juta telah digunakan untuk membeli sebuah rumah empat bilik di Craigieburn di utara Melbourne pada bulan Februari lalu.


Pemilikan harta itu kemudiannya dipindahkan ke atas nama kakak wanita tersebut, yang tinggal di Malaysia.

Percubaan untuk memberikan perintah pembekuan kepada kakak wanita tersebut tidak berjaya, kerana dia tidak pernah membalas e-mel daripada peguamcara Crypto.com.

Satu-satunya cara untuk berkomunikasi yang diberikan kepada mahkamah ialah menerusi balasan e-mel kepada peguamcara wanita itu.

Peguamcara wanita tersebut memaklumkan Crypto.com bahawa kakaknya “mendapat nasihat undang-undang”, dalam perbicaraan mahkamah tersebut.


Hasil daripada penghakiman tersebut memutuskan bahawa wanita itu perlu menjual rumah berkenaan secepat mungkin dengan hasil jualan diserahkan kepada Crypto.com, bersama-sama dengan faedah dan kos-kos lain.

Crypto.com dilaporkan enggan mengulas dengan lebih lanjut berkenaan kes tersebut.

Terdahulu, pada bulan Jun, Crypto.com berkata ia telah memecat 260 pekerjanya disebabkan kemerosotan pasaran mata wang kripto.

Tetapi menurut laporan The Verge, syarikat itu telah memberhentikan lebih ramai lagi daripada jumlah tersebut. – The Guardian



Join our Telegram Channel
Telegram