Tengku Maimun masih belum jawab 3 soalan kaitan kes Najib, kata Puad



KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mengulangi tiga pertanyaan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang didakwa masih belum dijawab berhubung kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Tiga persoalan itu ialah betulkah permohonan Najib untuk menggunakan Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw Peguam ditolak kerana beliau tidak fasih berbahasa Melayu.

Dan jika benar, apakah Dr Pornthip pakar patologi dari Thailand dalam kes Teoh Beng Hock fasih bercakap bahasa Melayu.

Seterusnya, Puad berkata, alasan permohonan Najib mahu menggunakan Laidlaw ditolak kerana peguam dari Malaysia cukup pakar.


Tetap kenapa Jabatan Peguam Negara boleh mengguna Gopal Seri Ram, seorang peguam swasta jadi pendakwa.

Apakah negara tidak ada pendakwa raya yang pakar setelah 65 tahun negara merdeka

Tambahnya, Najib memohon Ketua Hakim Negara menarik diri kerana suaminya adalah penyokong pembangkang secara terbuka.

Masalahnya kenapa Ketua Hakim Negara sendiri yang menjadi hakim sama ada dia perlu tarik diri atau tidak.

”Cukuplah tiga soalan itu diulang balik. Tolong jawab secara terbuka,” katanya walaupun permohonan Najib sudah ditolak.


Persoalan itu dikemukakan Puad selepas Tengku Maimun menggesa ahli politik dan masyarakat digesa membaca serta memahami alasan penghakiman sesuatu kes mahkamah terlebih dahulu sebelum mahu membuat sebarang kenyataan dan kesimpulan.

Ketua Hakim Negara berkata, kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman, terutamanya selepas keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdasarkan sentimen semata-mata.

Tegasnya, komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan yang tidak relevan.

Berikutan itu, Tengku Maimun meminta mereka membaca dan memahami sesuatu isu, selain bertanya pada pakar sebelum membuat kesimpulan.


Tegasnya, tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.

“Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas.

“Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul,” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian bagi mengulas serangan terhadap institusi kehakiman oleh beberapa pihak ketika ini, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MG





Join our Telegram Channel
Telegram