Wanita kongsi gambar lucah, screen-shot perbualan Ebit Lew: Saksi



TENOM: Perbicaraan kes Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew (gambar), bermula hari ini dengan Mahkamah Majistret di sini mendengar keterangan pakar motivasi yang membantu seorang mangsa gangguan seksual membabitkan pendakwah selebriti itu.

Mohd Fairuz Abu, 37, memberitahu mahkamah bahawa seorang wanita yang menggunakan nama samaran menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp selepas beliau memuat naik hantaran mengenai seorang pendakwah terlibat dalam kes gangguan seksual di laman sosial Facebook pada 26 Julai tahun lepas.

“Pada awalnya, beliau tidak memperkenalkan diri dan menyebut namanya. Beliau bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam hantaran itu.

“Apabila saya sebut hantaran itu berkaitan Ebit Lew maka wanita tersebut terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengannya dan juga gambar lucah yang diberi oleh Ebit melalui WhatsApp,“ katanya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.


Saksi itu berkata beliau turut menghantar tangkap layar yang dikongsi mangsa kepada individu bernama Firdaus Wong yang sedang mengendalikan kes sama membabitkan tertuduh dan wanita lain.

Ketika ditanya Zahida tindakan selepas menghantar tangkap layar itu kepada Wong, Mohd Fairuz berkata pada 27 Julai tahun lepas, beliau menghubungi wanita tersebut menerusi panggilan telefon untuk mendengar kronologi penuh gangguan terhadapnya.

“Pada awalnya, beliau takut-takut dan berasa tidak selamat untuk berkongsi namun selepas saya menenangkannya, barulah beliau kongsikan dari A-Z (daripada awal hingga akhir).

“Saya mencadangkan kepada wanita itu untuk membuat laporan polis tetapi beliau takut dan berkata ‘saya ni orang kecil saja. Ebit Lew orang besar. Jadi saya tak nak buat laporan,“ katanya.


Mohd Fairuz berkata wanita itu kemudian meminta tempoh untuk berbincang dengan suaminya sebelum membuat laporan polis pada 7 Ogos tahun lepas.

Saksi itu berkata beliau pernah bertemu secara peribadi dan mampu mengecam wanita tersebut yang hadir di mahkamah dengan kawalan ketat.

Mohd Fairuz turut mengecam Lew.

Pendakwah selebriti itu berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Lew, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram