Parit Buntar: Pergaduhan dua lelaki sehingga menyebabkan kematian di Kampung
Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang di sini, dipercayai berpunca daripada kes
curi baja.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pergaduhan tercetus
selepas mangsa berusia 47 tahun menahan seorang lelaki di tengah jalan dan
menumbuk bahagian pipi individu berkenaan.
Menurutnya, suspek kemudian membalas dengan menumbuk mangsa pada hidung dan
pergelutan berlarutan sehingga kedua-dua mereka terjatuh ke dalam tali air.
"Pergaduhan suspek dan mangsa kemudiannya berjaya dileraikan penduduk setelah
kedua-duanya naik ke daratan.
"Selepas dileraikan, suspek pulang ke rumahnya, manakala mangsa rebah dan
tidak sedarkan diri ketika pergi ke motosikalnya sebelum disahkan meninggal
dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.
Menurutnya lagi, punca pergaduhan dikatakan kerana mangsa menuduh mencuri baja
miliknya.
"Susulan kejadian, suspek berusia 40 tahun di tahan di rumahnya kira-kira 100
meter dari lokasi kejadian pada 6 petang semalam.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sendiri itu positif
methamphetamine.
"Suspek memiliki enam rekod jenayah lampau dalam kes jenayah dan dadah akan
direman di Mahkamah Majistret Parit Buntar," katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Hmetro
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel