Pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 muat naik video sumbang (8 gambar)



SEPANG – Pelakon lelaki popular Zul Ariffin, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang pada Mac lalu.

Hakim Noorhisham Mohd. Jaafar, menjatuhkan hukuman itu kepada Zul Arifin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 36, selepas aktor berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Pelakon Sangkar itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Beliau kemudiannya membayar denda tersebut.

Pendakwaan ke atas Zul Ariffin dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.


Seksyen 233(3) Akta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Zul Ariffin menerusi aplikasi Instagram ‘zul_ariffin’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 18 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan turut hadir Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) Mai Zairani Zainal Abidin manakala Zul Arifin pula diwakili peguam P. Sivaram dan M. Saresh.

Terdahulu , Saresh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum memandangkan beliau menanggung dua ahli keluarga iaitu bapa berusia 74 tahun dan seorang kakak berusia 48 tahun selain kesalahan berkenaan adalah kali pertama dilakukannya.

Menurut Saresh, anak guamnya juga telah mengaku bersalah selain berasa kesal dengan tindakan memuat naik video berkenaan dan insiden itu secara langsung memberi kesan mental kepada diri anak guam serta keluarganya.


Ujar beliau, anak guamnya adalah seorang pelakon yang banyak menyumbang kepada industri seni negara termasuk pernah memenangi beberapa anugerah berprestij.

Bagaimanapun, Fazril Sani dalam hujahannya meminta tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan agar menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang sama selain mencerminkan ketelusan Parlimen dan undang-undang dalam menguatkuasakan Seksyen 233 AKMM 1998.

Kosmo! pada 23 Mac lalu melaporkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter memaklumkan pelakon tersebut akan dipanggil oleh pihak berkuasa dan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM).

Ia susulan tindakan Zul Arifin memuat naik klip adegan ‘panas’ drama bersiri ‘Perempuan Itu’ yang memaparkan beliau mendukung pelakon wanita Siti Hariesa dan menyuap krim putar dalam keadaan ghairah di Instagram yang dianggap keterlaluan hingga dikecam teruk oleh netizen. – Kosmo





 













Join our Telegram Channel
Telegram