Pesara tentera hantar WhatsApp lucah kepada anak tiri



MELAKA – Seorang warga emas yang juga pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menghantar mesej WhatsApp secara seksual terhadap anak tirinya berusia 14 tahun, sejak Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 60 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa telah berkomunikasi secara seksual ke atas anak tirinya berusia 14 tahun 6 bulan dengan menghantar kandungan lucah antara 11 Jun sehingga 31 Ogos 2022.


Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bemban dalam daerah Jasin.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin membenarkannya, beliau menawarkan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan meminta agar syarat tambahan dikenakan.

Beliau turut memberitahu, mangsa kini tinggal bersama ibunya, manakala tertuduh dijaga oleh oleh anak-anak kandungnya.


Difahamkan kejadian itu hanya terbongkar selepas ibu mangsa dikatakan bercerai dengan tertuduh.

Peguam Umar Zulkarnain mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan rendah dibenarkan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dan bayaran ikat jamin akan dibuat oleh anak-anak kandungnya yang hadir pada prosiding.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 23 November ini sebagai sebutan semula kes. – Kosmo







Join our Telegram Channel
Telegram