Saman tuntut RM10.3 juta cukai tertunggak anak Najib dengan LHDN selesai



Saman yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menuntut RM10.3 juta cukai tertunggak daripada Nooryana Najwa Najib selesai.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Nooryana hari ini mengesahkan LHDN menarik balik rayuan berkaitan kes itu yang sebelum ini difailkan di Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 ogos 2020 yang menolak permohonan LHDN untuk penghakiman ringkas terhadap anak bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Mengikut undang-undang sivil, sesebuah mahkamah dibenarkan membuat penghakiman ringkasan bagi sesuatu memutuskan hal perundangan tanpa menjalani perbicaran penuh.


Jika ia dibenarkan, Nooryana tidak boleh membela dirinya terhadap saman tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Farhan mengesahkan LHDN telah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan.

"Rayuan LHDN terhadap penolakan Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan penghakiman ringkas telah ditarik balik, memandangkan isu cukai ini telah diselesaikan.

"Berkenaan saman di Mahkamah Tinggi, tarikh perbicaraan telah dikosongkan namun proses pembatalan secara rasmi masih belum tamat," katanya.

Seorang lagi peguam Nooryana, Wee Yeong Kang turut mengesahkan pembatalan permohonan LHDN serta penyelesaian isu tuntutan cukai antara lembaga itu dengan anak guamnya.


Dalam kumpulan WhatsApp Istana Kehakiman dengan pengamal media, seorang pegawai mahkamah juga memaklumkan LHDN telah menarik balik permohonannya.

Selain Nooryana, LHDN turut memfailkan tindakan sivil untuk menuntut RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada anaknya, Mohd Nazifuddin.

Najib dan Nazifuddin kini sedang merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penghakiman ringkas terhadap mereka.

Terdahulu, LHDN turut menyelesaikan saman tuntutan cukai berjumlah RM13.16 juta terhadap seorang lagi anak Najib iaitu Mohamad Nizar.

Dalam penyelesaian itu, Nizar setuju untuk menyelesaikan cukai taksiran tambahan bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram