Syed Saddiq mahu pertahan Muar, tolak cabaran Dr Akmal



PETALING JAYA: Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan akan mempertahankan Parlimen Muar, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekaligus menolak cabaran Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk bertanding di Jasin.

Katanya, beliau bertekad berkhidmat lebih baik dan memperjuangkan dasar kukuh sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk bertanding di situ.

“Saya akan membantu membentuk kestabilan pentadbiran, meningkatkan taraf ekonomi dan mengutamakan pendidikan, pengagihan sumber yang seimbang, membanteras korupsi dan menjamin kesejahteraan semua.

“Sejujurnya, kalau boleh putar masa sekali pun, saya masih akan pilih untuk berkhidmat kepada orang Muar. Sebabnya, rumah adalah tempat di mana hati berada dan di Muar, ia di mana hati saya berada,” katanya yang juga bekas menteri belia dan sukan itu, menurut Berita Harian.


Pada PRU14, Syed Saddiq meraih 22,341 undi untuk menang dengan majoriti 6,953 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar, Razali Ibrahim dan calon PAS.

Semalam, dilaporkan Muda dijangka mengadakan rundingan pengagihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi PRU15, hari ini, selepas perbincangan itu “tergantung” sebelum ini.

Bendahari Muda Tarmizi Anuwar, berkata ia akan membincangkan secara terperinci mengenai kerusi mana yang akan dirundingkan.

Sebelum ini Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin mencabar Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘keluar’ dari kerusi Parlimen Muar disandangnya dan bertanding di Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Cabaran itu dikemukakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan tuduhan dibuat Syed Saddiq berkenaan kekecohan yang berlaku ketika sesi ceramah di Muar, Johor baru-baru ini.


Muhamad Akmal berkata, Parlimen Jasin boleh dianggap kerusi neutral memandangkan Barisan Nasional (BN) hanya menang dengan majoriti 219 undian dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU14.

“Saya menyeru dan mengajak Syed Saddiq untuk bertanding di Parlimen Jasin. Kerana apa? Parlimen Jasin ini pada PRU14 BN hanya menang majoriti 219 undian sahaja, tiga penjuru.

“Maka, ini adalah satu pentas yang kita panggil neutral, yang boleh dimenangi oleh sesiapa pun dengan tambahan undi automatik. Undi18 di Parlimen Jasin adalah sebanyak hampir 23,000 orang. Dan Jasin dan Muar ini hanya bersebelahan.

“Saya cabar Syed Saddiq kalau benar ‘jantan’ kita buktikan melalui pilihan raya, kita buktikan melalui undi dalam pilihan raya. Jika benar agenda perubahan Syed Saddiq ini diterima maka dia boleh menang pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. – FMT / Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram