Thomas ambil 23 peguam luar tanpa ikut prosedur, dedah laporan



PETALING JAYA: Tommy Thomas mengetepikan pegawainya sendiri semasa beliau menjadi peguam negara dalam melantik kira-kira 23 peguam luar untuk bertindak bagi pihak kerajaan tanpa mengikut prosedur, menurut laporan kerajaan. 

Laporan oleh pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan yang dibangkitkan mengenai memoir Thomas itu, berkata pelantikan begitu ramai peguam luar untuk mewakili kerajaan persekutuan “belum berlaku” dalam sejarah perkhidmatan awam Malaysia.

Ia menyifatkan pelantikan itu sebagai tidak wajar dan sangat menimbulkan perbalahan, dengan menyatakan bahawa peguam luar dilantik untuk mengendalikan “kes berprofil tinggi yang membolehkan mereka mengakses dokumen dan maklumat yang sangat sulit”.

Antara yang dilantik oleh Thomas ialah peguam British Toby Landau dan Luke Parsons, yang kedua-duanya peguam Diraja, serta firma yang berpangkalan di Singapura dan Los Angeles.


Pasukan petugas itu menyatakan bahawa Thomas telah berkata dalam memoirnya bahawa peguam di Jabatan Peguam Negara (AGC) “tidak mempunyai komitmen, semangat dan dorongan yang sama” sebagai ahli Badan Peguam Malaysia.

Sebagai ketua jabatan itu, Thomas sepatutnya membuat cadangan untuk mengatasi pelbagai kelemahan, kata pasukan petugas itu.

Sebaliknya, beliau mengetepikan pegawainya, dengan berkata mereka tidak cekap dan tidak berpengalaman dan membuat pelantikan luar tidak mengikut prosedur yang mesti dipatuhi oleh ketua perkhidmatan undang-undang.

Pasukan petugas itu turut mengkritik Thomas kerana tidak mengekalkan standard etika dan ketertiban yang diharapkan daripada seorang peguam negara, jawatan elit dalam kerajaan.

“Oleh itu, memoir seperti ini oleh bekas peguam negara, kebanyakannya mengandungi maklumat tanpa justifikasi dan bukti, adalah tidak sesuai,” kata pasukan petugas itu.


Syor tentang kuasa AG

Jawatankuasa itu turut menggesa satu garis panduan ditetapkan mengenai kuasa peguam negara dan pendakwa raya untuk melantik peguam luar mewakili kerajaan.

Garis panduan itu harus menjamin ketelusan dan integriti, sambil menghapuskan sebarang konflik kepentingan.

“Pasukan petugas itu mencadangkan pelantikan peguam dalam kes sivil dan jenayah perlu dibuat oleh peguam negara atas permintaan ketua bahagian yang mengendalikan kes sebegitu.” – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram