Tolak perpaduan ummah dikira melampau, kata Hadi selepas Muhyiddin suruh pilih antara UMNO atau Bersatu



PETALING JAYA: PAS bertegas agenda perpaduan ummah perlu membabitkan semua parti utama Melayu Islam, termasuk Umno dan Bersatu, diikuti pembabitan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks menyatukan masyarakat majmuk di bawah pimpinan Islam.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, pihak yang menolak usaha itu boleh dianggap melampau terhadap usaha penyatuan ummah.

“Ada pun kumpulan Islam itu tidak hanya PAS dan Umno saja tanpa Bersatu dan lain-lain. Begitulah juga tidak hanya PAS dan Bersatu saja tanpa Umno dan lain-lain.

“Kalau hanya PAS dan Umno saja atau PAS dan Bersatu saja, maka (ia) tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, dan hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna. Jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia.


“Justeru, mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan ini boleh dikira melampau terhadap usaha perdamaian dan akan dikeluarkan daripada pakatan perpaduan ummah,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kumpulan Islam yang memimpin tidak boleh terikat kepada satu bangsa saja.

“PAS wajib mengambil teladan daripada Sunnah Nabawiyyah dalam sirahnya, dengan menjadikan agenda perpaduan umat Islam dan mesejnya kepada seluruh umat manusia bermasyarakat majmuk.

“Langkah ini bermula dengan perpaduan umat Islam yang memimpin dengan mengumpulkan semua kumpulan Islam daripada berbagai-bagai jemaah atau parti. Kemudiannya, disertai oleh kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk.”

Katanya, sebarang perselisihan antara parti Melayu Islam, termasuk di Malaysia perlu diselesaikan berpandukan al-Quran dan sunnah.


Beliau turut menolak dakwaan PAS cuba bermain banyak kolam dalam usaha menyatukan semua parti Melayu Islam.

Kenyataan Hadi ini menyusul pertemuannya dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu yang mendakwa beliau diberi bayangan PAS akan membuat keputusan muktamad untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, Muhyiddin tidak seharusnya menetapkan parti itu perlu memilih Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 kerana mereka mahu bekerjasama dengan kedua-dua parti itu demi “perpaduan ummah”.

Umno sebelum ini bertegas tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15, manakala Muhyiddin melabelkan BN sebagai musuh utama PN. – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram