Tular video 2 lelaki bertopeng lepas tembakan depan rumah



IPOH: Polis sedang menyiasat kes dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Sitiawan, Manjung, semalam.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.07 tengah hari semalam daripada seorang lelaki mengenai kejadian di hadapan rumah rakannya, disyaki dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal.

Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati pemilik rumah terbabit tinggal bersama isteri dan dua anak.


“Mangsa memaklumkan bahawa isterinya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada pagi semalam namun tidak mengendahkan perkara tersebut.

“Pada kira-kira 12.45 tengah hari, pengadu keluar dari rumah untuk mengambil barang lalu menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Yusri berkata, pemeriksaan Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mendapati terdapat kesan lubang pada cermin belakang kereta mangsa dipercayai akibat tembakan dan menemukan kelongsong peluru di bawah kenderaan selain kepala peluru di kawasan but kenderaan itu.


Beliau berkata, siasatan rakaman kamera litar tertutup mendapati terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran dan melepaskan sedas tembakan lalu terkena kenderaan mangsa.

“Suspek kemudian cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung Mohd Azalan Ab Karim di talian 019 3927837 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.






Join our Telegram Channel
Telegram