200 ahli keluar parti, Bersatu Sri Lalang ‘lumpuh’



KLUANG : Cawangan Bersatu Sri Lalang di sini dikatakan lumpuh selepas kira-kira 200 ahlinya mengisytiharkan keluar parti dan menjadi ahli Umno Bahagian Simpang Renggam.

Ketua cawangan Sadiq Abdul Halim berkata, tindakan keluar parti itu dilakukan kerana ahli-ahlinya merasakan parti itu tiada hala tuju yang jelas.

“Ahli di sini mahu perubahan dalam parti dan selama tujuh tahun bernaung bawah Bersatu, tidak nampak apa hala tuju sebenar parti ini.

“Namun selepas melihat sendiri hasil kerja Umno, kami nampak ada perkara yang sememangnya menjadi harapan rakyat dan anak muda yang parti ini sasarkan,” katanya selepas menyerahkan borang permohonan keahlian Umno kepada Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam Zakaria Dullah di Sri Lalang.


Sadiq berkata, ahli yang terlibat keluar parti adalah dari Taman Ria, Kampung Rahmat dan Kampung Batu 6 serta beberapa penempatan sekitar kawasan cawangan Sri Lalang.

Sementara itu, Zakaria mengesahkan menerima borang permohonan keahlian tersebut dan meletakkan kemasukan ahli baharu ini bawah pentadbiran Ketua Umno Cawangan Sri Lalang Mohd Nizam Sulaiman sebelum penubuhan cawangan baharu.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan ahli baharu dan diharapkan lebih ramai lagi, khususnya anak-anak muda di Sri Lalang, bertindak bijak untuk memilih sebuah parti yang mempunyai wawasan.

“Syukur kerana sudah ramai anak-anak muda membuka mata dan menyedari kelebihan berada dalam Umno, yang umum sudah sedia maklum tentang perjuangan parti ini,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram