Che Abdullah sah jadi calon BN di Tumpat



Penyandang kerusi Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi sah akan mempertahankan kerusinya menggunakan tiket BN dalam PRU15.

Perkara itu disahkan Pengerusi BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub, hari ini.

Che Abdullah yang merupakan bekas setiausaha PAS Kelantan sebelum ini digugurkan dalam senarai calon Perikatan Nasional (PN).


Ketika sidang media di ibu pejabat Umno Kelantan di Kota Bharu hari ini, Ahmad Jazlan berkata BN negeri itu memberi laluan kepada Che Abdullah kerana dia dianggap sebagai calon boleh menang.

"Teka teki sudah terjawab apabila Che Abdullah akan bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat. Kita rasa satu kelegaan apabila dia bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

"Kehadirannya juga diterima baik oleh akar umbi Umno bahagian Tumpat," katanya.


Ahmad Jazlan berkata, pihaknya yakin akan memberi saingan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen tersebut.

"Kita akui kita menawarkan kerusi berkenaan kepada Che Abdullah dan BN memang mengadakan pertemuan dengannya sebelum ini," katanya.

Mumtaz Md Nawi merupakan calon PAS di kerusi Parlimen Tumpat bagi menggantikan Che Abdullah.

Pada PRU lalu, Che Abdullah memenangi kerusi itu dengan tiket PAS dengan majoriti 17,500 undi, menewaskan calon BN Wan Johani Wan Hussin dan calon PH Nordin Salleh. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram