Shahidan sah tanding di Arau atas tiket PN



PETALING JAYA: Selepas digugurkan Barisan Nasional, Shahidan Kassim mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bekas menteri besar Perlis itu berkata, beliau memilih PN kerana gabungan itu dilihat mampu menyatukan Umno, PAS dan Bersatu dalam platform sama.

“Saya akan bertanding atas satu parti yang berasaskan Umno, PAS dan Bersatu yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara, walaupun Umno pun memperjuangkan agama, bangsa dan negara, namun ia kini dipimpin oleh seorang yang mengkhianati keputusan bahagian, terutama di Arau.


“Jadi, kalau perkiraan ini diambil untuk menjadi pemimpin, saya kira tak layaklah kerana saya sudah menjadi pengarah pilihan raya sebanyak lima kali dan kami tidak pernah ganggu bahagian masing-masing.

“Tetapi, jika dilihat calon yang bertanding kali ini sangat menyedihkan, apabila tiada satu pun senarai calon yang diutarakan oleh bahagian dipilih,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Pengumuman rasmi calon PN yang akan bertanding di Parlimen Arau akan dilakukan di Kompleks PAS Perlis di Kangar malam nanti.

Shahidan akan berdepan saingan calon BN, Rozabil Abd Rahman, Fathin Amelina Fazlie daripada Pakatan Harapan dan Abdul Razak Abdul Malik daripada Pejuang pada 19 Nov nanti.


Shahidan yang dilantik sebagai menteri besar Perlis dari 1995 hingga 2008, tidak pernah tewas sejak PRU 1986, sama ada di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau memenangi Parlimen Arau pada PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 serta DUN Tambun Tulang dari 1995 hingga 2008.

Beliau pernah menewaskan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Haron Din di DUN Tambun Tulang pada 2004 dan Parlimen Arau pada 2013 serta Hashim Jasin di Parlimen Arau pada 2018. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram