GTA ikrar letak ketua hakim negara, SPRM bawah Parlimen



PETALING JAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) mengumumkan manifesto pilihan raya umumnya yang “realistik”, termasuk janjinya untuk meletakkan sembilan pegawai tertinggi kerajaan di bawah bidang kuasa Parlimen, jika ia menang pada 19 Nov ini.

Sembilan pegawai tertinggi itu ialah peguam negara, ketua polis negara, ketua hakim negara, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, panglima angkatan tentera, ketua setiausaha negara, ketua setiausaha perbendaharaan, ketua audit negara dan gabenor Bank Negara.

Pengerusi GTA, Dr Mahathir Mohamad berkata, ini perlu untuk membebaskan negara daripada rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.


Gabungan itu turut berjanji akan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi integriti dan anti-rasuah.

Ia berjanji akan melaksanakan pembaharuan undang-undang seperti menggubal undang-undang pembiayaan politik dan mengawal parti politik.

GTA juga berjanji akan merangka pelan tindakan keselamatan makanan dan tenaga serta mengukuhkan strategi perubahan iklim negara dan pemuliharaan biodiversiti.

Katanya, GTA akan membantu golongan B40 dan terpinggir mendapatkan sokongan serta akses pendidikan tinggi, selain mengurangkan kos penjagaan warga emas dan kanak-kanak melalui sokongan kerajaan. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram