PM isytihar 18, 19 Nov cuti umum, tol percuma



PUTRAJAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 18 dan 19 Nov ini sebagai cuti umum bagi memudahkan rakyat pulang mengundi.

“Kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan keluarga Malaysia mengundi.

“Saya tidak mahu seorang pun dilarang mengundi,” katanya ketika berucap dalam majlis pecah tanah bangunan Cuepacs, di sini.


Pada masa sama, Ismail mengumumkan tol percuma untuk Jumaat dan Sabtu ini.

“Tol percuma akan bermula dari 12.01 pagi 18 Nov (Jumaat) hingga 11.59 malam Sabtu, 19 Nov 2022, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 saja yang dianggarkan sekitar 90% daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.”

Beliau berkata, tawaran itu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM34.5 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).


Dalam pada itu, katanya, gaji penjawat awam bagi bulan ini akan dibayar lebih awal pada 17 Nov, manakala bayaran pencen untuk pesara diawalkan ke hari ini untuk meringankan beban penjawat awam yang ingin pulang ke kampung mengundi.

“Apa yang diumumkan ini tidak meliputi kakitangan swasta, hanya untuk penjawat awam.

“Tapi saya menggalakkan dan meminta swasta ambil contoh apa yang dilaksanakan kerajaan supaya membayar gaji awal kepada pekerja mereka, ia boleh membantu pekerja swasta untuk kurangkan bebanan dan keluar mengundi.” – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram