Polis tahan ‘Superman Hew’ isu ucapan ketika ceramah



Polis telah menahan bekas ahli DAP Hew Kuan Yaw berhubung ucapannya minggu lalu yang didakwa mengancam ketenteraman awam.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata penahanan itu dibuat dengan bantuan pegawai dari Bukit Aman di Puchong Jaya hari ini, dan Hew ditahan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi sementara menunggu prosiding reman.

Ramli berkata polis Pahang telah menyiasat video ucapan politik yang memaparkan Hew sejak 17 Nov, yang didakwa dibuat di Raub Perdana, Pahang.

Polis mendapati ucapan bahasa Kantonis itu mengandungi unsur-unsur yang mengancam ketenteraman awam.


"Sebahagian dari rakaman video ceramah berkenaan telah ditularkan di dalam media massa serta media sosial dan mendapat reaksi yang negatif dari masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Hew turut disiasat kerana satu lagi ucapan politik yang didakwa berlaku di Taman Pandan Mawar, Melaka, pada 18 Nov, iaitu menjelang hari pengundian pilihan raya umum ke-15.

Hew, juga dikenali dengan gelaran “Superman”, sedang disiasat di bawah tiga undang-undang berasingan bagi setiap dua kesalahan yang didakwa.

Yang pertama ialah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi kesalahan membangkitkan perasaan permusuhan atau niat jahat. Sabit kesalahan di bawah peruntukan ini boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.


Seseorang yang disabitkan kesalahan di bawah peruntukan ini tidak layak menjadi pengundi atau bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Hew, 52, juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam), dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Mkini



 

Join our Telegram Channel
Telegram