BERA – Orang ramai yang mula pulang mengundi sejak semalam akan dapat menyambung cuti sehingga Isnin depan yang berkemungkinan diisytiharkan cuti sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mempertimbang mengisytiharkan cuti pada Isnin sekiranya parti itu menang besar dan membentuk kerajaan baharu pada PRU-15.
“Terima kasih kerana balik mengundi. Insya Allah kalau kita menang besar membentuk kerajaan, hari Isnin kita bagi cuti.
“Saya harap, esok mahasiswa dari Bera jangan tersilap kerana orang lama atau pengundi lama di Bera, saya tahu yang mereka akan mengundi BN esok.
“Saya harap pengundi muda, pengundi yang pertama kali mengundi ini iaitu para mahasiswa adalah seperti ibu bapa (masing-masing) yang memilih untuk mengundi BN esok,” katanya pada program ramah mesra mahasiswa anak Bera, di sini, hari ini.
Pada majlis itu lebih 600 mahasiswa daripada pelbagai universiti seluruh negara yang akan mengundi dalam PRU15 hadir.
Menurut Ismail Sabri, mahasiswa mempunyai dua pilihan sama ada memilih kesengsaraan jika memilih pembangkang atau memilih BN untuk kecemerlangan pada masa akan datang.
“Percayalah kita ada dua pilihan, di sebelah kiri untuk sengsara, di sebelah kanan untuk kecemerlangan, di sebelah kiri adalah parti pembangkang, jika kita pilih akan membawa kesengsaraan kepada kita dan masa depan.
Join our Telegram Channel