#PRU15: PN tak akan beri laluan kepada Annuar di Parlimen Ketereh



Kota Bharu: "Saya tidak akan beri laluan sekiranya Tan Sri Annuar Musa mahu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Ketereh. 

"Sekiranya saya berbuat demikian, saya sudah munafik dengan diri sendiri," kata bakal calon PN di Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B), Datuk Khlir Mohd Nor.

Beliau berkata, walaupun Annuar adalah sahabatnya dan sekiranya penyandang Parlimen Ketereh itu tetap mahu bertanding di Ketereh, biarlah bertanding secara sihat.


"Jika Annuar tetap mahu bertanding mungkin dia boleh bertanding atas tiket Bebas. Saya tidak akan memberi peluang bagi pihak PN kerana nama saya sudah dipersetujui kedua-dua parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

"Sekiranya saya memberi peluang, ia adalah perbuatan munafik selain menjejaskan imej kepada diri saya sendiri," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Annuar yang dikatakan tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh memberi bayangan akan tetap bertanding di Parlimen berkenaan namun atas tiket parti lain.

Mengulas lanjut katanya, beliau dimaklumkan akan dicalonkan di Parlimen Ketereh sejak seminggu lalu apabila dihubungi oleh Datuk Dr Radzi Jidin.


"Saya akui memang terkejut mendapat tawaran berkenaan memandangkan saya bukan orang politik, sedangkan ramai orang berebut untuk menjadi calon.

"Datuk Radzi memaklumkan pimpinan PN mahu saya menjadi calon PN di Parlimen Ketereh dan saya sahut cabaran itu. Sejak seminggu lalu, saya sudah turun padang bertemu penduduk.

"Walaupun saya seperti bidang terjun oleh PN di Parlimen Ketereh, namun saya yakin mampu menarik undi warga Ketereh terutama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandangkan pengalaman saya sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Perisikan Tentera Darat.

"Selain itu saya memang anak jati Ketereh dan saya mempunyai ramai saudara mara," katanya. – Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram