#PRU15: 'Saya ditinggalkan begitu saja' – KJ



Sungai Buloh: "Saya yang kena usaha sendiri untuk dapatkan kerusi (Parlimen) sebab sudah tiada kerusi lain yang 'available' (masih kosong)," kata Khairy Jamaluddin.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh itu berkata, beliau mengambil inisiatif sendiri dengan menghubungi Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berhubung pemilihan kerusi.

"Saya tidak mahu panjangkan polemik dengan Presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) berhubung isu ini kerana tidak elok bercakap melalui media.

"Tetapi hakikatnya adalah saya tiada lagi pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi apa-apa isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan dan saya ditinggalkan begitu saja.


"Saya tahu saya kena keluar dari kawasan Parlimen Rembau. Jadi, pada waktu itu, saya kena buat sesuatu untuk diri sendiri dengan ambil inisiatif berjumpa Tan Sri Noh Omar memandangkan bilangan kerusi 'available' (masih kosong) sudah tidak banyak," katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan di SME Arerospace Sdn Bhd, Jalan Kuala Selangor, U19, di sini, hari ini.

Khairy berkata, tidak timbul isu beliau membelakangkan Presiden Umno memandangkan tiada isyarat daripada pucuk pimpinan diberikan kepadanya.

Katanya, beliau tidak dijemput untuk berbincang dan apabila tarikh penamaan calon semakin menghampiri, beliau perlu berbuat sesuatu.

"Hasil perbincangan saya dengan Tan Sri Noh, beliau mengesyorkan saya datang ke Selangor dan berjumpa Presiden MIC (Tan Sri S A Vigneswaran) untuk minta tukar memandangkan ini (Sungai Buloh) dulu kawasan MIC.


"Untuk kata saya minta (kerusi Sungai Buloh), dalam konteks itu ya tapi saya yang kena usahakan sendiri untuk mendapatkannya sudah tidak ada kerusi lain.

"Bagaimanapun, saya tak mahu bertelingkah dengan Presiden mahupun pucuk pimpinan kerana saya datang ke sini (Sungai Buloh) untuk mewakili BN dan saya akan cuba memenangi kawasan ini," katanya.

Mengulas mengenai pandangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya, beliau berterima kasih terhadap komen baik berkenaan.

"Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin sebab memberi memberi komen yang baik terhadap mutu kerja saya dan saya berkerja kuat sewaktu beliau melantik saya sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi.

"Beliau (Muhyiddin) tahu apa yang saya boleh buat dan etika kerja saya yang boleh 'deliver'.


"Tapi soal parti ini, kita perlu setuju dan tidak setuju. Beliau Perikatan Nasional, saya Barisan Nasional," katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara BN, PN, Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Saingan sengit di kerusi parlimen itu membabitkan Khairy Jamaluddin daripada BN, R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram