Anwar pertahan keputusan lantik Zahid TPM



PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dengan menegaskan beliau tidak boleh menolak kepentingan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam kerajaan perpaduan diketuainya.

Zahid berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Jumaat lalu Zahid dinamakan sebagai seorang daripada timbalan perdana menteri dalam 28 Jemaah Menteri Anwar.


Warganet menolak pelantikan Zahid sebagai orang nombor dua paling berkuasa dalam kerajaan, aktivis anti-rasuah dan ahli politik pembangkang turut mengkritik pelantikan itu.

“Itu hak mereka,” kata Anwar ketika ditanya mengenai keputusan pelantikan itu.

“Beliau (Zahid) telah didakwa (di mahkamah) dan belum dihukum lagi, ia adalah proses yang perlu kita hormati.

“Beliau adalah presiden Umno dan juga pengerusi BN. Dalam keadaan (kerajaan perpaduan) seperti ini, saya perlu mengambil kira faktor itu,” katanya dalam sidang media.


Zahid memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan BN terhadap Anwar walaupun terdapat bantahan daripada sebilangan Ahli Parlimen gabungan itu yang berpegang pada resolusi parti yang tidak mahu bekerjasama dengan Anwar atau DAP.

Sebelum ini, NGO seperti Bersih dan bekas pemimpin seperti Rafidah Aziz menggesa ahli politik yang mempunyai kes di mahkamah tidak dilantik sebagai menteri.

Ahli Parlimen yang masih mempunyai kes di mahkamah termasuk Zahid, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin. – Mkini 


ARTIKEL BERKAITA:
 

Join our Telegram Channel
Telegram