MKT Umno pecat Annuar Musa, isteri Shahidan, isteri Ismail – Sumber



Sumber mengesahkan Ketua Umno Ketereh Annuar Musa antara tiga pemimpin parti yang dipecat.

Perkara itu dimaklumkan dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang enggan dinamakan kepada Malaysiakini.

Seorang lagi sumber Umno turut mengesahkan perkara itu.


Terdahulu, ahli MKT Umno Ahmad Puad Zarkashi memaklumkan mesyuarat malam tadi memutuskan untuk memecat seorang ketua bahagian Umno dan dua ketua wanita bahagian Umno.

Dia tidak menamakan mereka secara khusus namun memaklumkan mereka dipecat kerana "mencemuh parti" dan berkempen untuk parti lain pada PRU lalu.

Annuar sebelum ini dilihat antara tokoh Umno yang menggesa kerjasama parti itu dengan PAS dan Bersatu, bertentangan dengan keputusan kepimpinan tertinggi.

Susulan prestasi buruk BN dalam PRU lalu pula, dia bersama-sama sejumlah ketua Umno bahagian lain menggesa Zahid mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden.


Sebelum ini, dua ketua bahagian Umno turut tergugur keahlian selepas bertanding menggunakan tiket parti lain dalam PRU15.

Mereka adalah Shahidan Kassim (Arau) dan Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).

Annuar juga digugurkan namun tidak mengambil langkah sama, malah turut hadir memberi sokongan kepada calon BN, Marzuani Ardilla Ariffin ketika hari penamaan calon.

Dia juga dilihat telah menukar nada selepas BN menyertai kerajaan yang diterajui PH dengan berkata keputusan itu wajar dihormati. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram