Najib sekali lagi dimasukkan ke HKL



PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan berikutan masalah ulser dalam perut yang dihidapinya.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, prosedur rawatan yang dilakukan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu sama seperti banduan lain yang tertakluk di bawah Akta Penjara 2000.

Kata sumber itu, rawatan yang diberikan kepada Najib adalah mengikut saranan pegawai perubatan kepada pegawai penyelia bagi untuk pemantauan lanjut oleh pakar.

“Walaupun beliau (Najib) ditahan di hospital, dia masih berada di bawah kawalan pihak penjara. 


“Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, ditanya sehingga bila Najib ditahan di wad, sumber itu berkata, ia bergantung kepada syor yang dibuat oleh pegawai perubatan.

Pada September lalu, anak Najib iaitu Nooryana Najwa menerusi hantaran InstaStory memaklumkan bapanya menerima rawatan di HKL selepas mengalami sakit perut.

Menerusi hantaran itu, Nooryana Najwa memberitahu bapanya itu sememangnya sering mengalami masalah perut yang berulang.


Pada 19 September lalu, Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan pihak HKL telah merujuk Najib mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Dalam masa sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau yang tidak memuaskan.

Najib, 69, memulakan hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan denda RM210 juta bermula 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International. 

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu. – Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram