Pejuang digesa nilai semula kedudukan dalam GTA



PETALING JAYA: Sayap pemuda Pejuang menggesa pucuk pimpinan parti menilai semula penyertaan dalam gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) susulan kekalahan teruk dialami pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Pejuang, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, parti itu perlu mempertimbangkan menyertai gabungan politik lain, dengan mengambil kira jajaran baharu pasca-PRU15.

“Terdapat desakan besar daripada pimpinan menengah dan ahli akar umbi untuk Pejuang segera menilai kembali keanggotaannya dalam GTA, dan memfokuskan pengukuhan parti serta menimbang kerjasama dengan mana-mana blok gabungan parti politik lain yang mendekati aspirasi perjuangan Pejuang bagi meneruskan peranan dalam arena politik tanah air dengan mengambil kira jajaran baru politik yang wujud ketika ini, pasca- PRU-15,” katanya dalam kenyataan.


Katanya, kekalahan teruk GTA menggunakan logo Pejuang dalam pilihan raya lalu sehingga hilang wang deposit di seluruh kerusi, seharusnya membuatkan parti itu bermuhasabah sedalam-dalamnya.

“Pengalaman dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor awal tahun ini belum dapat mematangkan Pejuang dalam membuat keputusan dan strategi yang mampu membuahkan hasil. Rasa kebertanggungjawaban ini seharusnya dipikul bersama termasuk kepimpinan Pejuang Muda Malaysia.

“Pejuang Muda yakin bahawa kepimpinan utama Pejuang Malaysia tidak akan meminggirkan suara pimpinan menengah dan ahli akar umbi ketika memuktamadkan sebarang langkah politik parti,” katanya.


Menurutnya, kaedah yang difikirkan sesuai boleh digunakan bagi menggarap dan menimbang semua pandangan, kritikan serta nasihat ahli akar umbi Pejuang bagi mewujudkan suasana keterangkuman dalam pembuatan keputusan.

Mengulas gesaan GTA semalam yang mengambil ketetapan untuk terus berusaha agar pendaftaran diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (JPPM), Hafiz berkata pihaknya menghormati keputusan dibuat gabungan itu namun yakin pimpinan Pejuang belum membuat apa-apa keputusan rasmi dan baharu berhubungnya.

Pada September lalu, GTA mendapat kelulusan sementara daripada RoS dalam usaha gabungan tersebut turut serta dalam PRU15. Bagaimanapun, GTA kalah di semua 121 kerusi Parlimen ditandinginya pada PRU15. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram