‘Sekiranya majoriti tidak mahukan saya lagi, saya akan pergi…’ – Azhar Harun



PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun bercadang kembali menyambung amalan guaman selepas meletak jawatan pada sidang Parlimen pertama selama dua hari bermula 19 Dis ini susulan pembentukan kerajaan perpaduan.

Difahamkan, beliau menolak tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk dinamakan sebagai calon speaker. Menurut sumber, gabungan itu kini menamakan bekas menteri dalam negeri, Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

Ketika dihubungi, Azhar enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin beliau menolak tawaran PN itu bagi pemilihan jawatan terbabit.


Bagaimanapun, beliau menyatakan keinginan kembali meneruskan amalan guaman selepas tempoh rasminya sebagai speaker berakhir.

“Saya selalu menyatakan sekiranya majoriti tidak mahukan saya lagi, saya akan pergi diam-diam dan itulah yang akan saya lakukan. Saya mahu kembali menyambung amalan guaman,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau meninggalkan kerjaya itu pada September 2018, selepas dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika era pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi SPR dan dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat pada Julai 2020, empat bulan selepas kerajaan PH tumbang akibat Langkah Sheraton.


Ditanya sama ada beliau akan kembali menjadi “aktivis”, Azhar berkata, beliau tidak pernah menjadi aktivis mahupun memperagakan dirinya seperti itu.

“Saya hanya seorang individu yang mempunyai pandangan terhadap sesuatu isu. Kadang-kadang kebetulan orang lain bersetuju dengan pandangan saya dan ada beberapa parti politik juga berkongsi pendapat sama. Namun, ia tidak menjadikan saya seorang aktivis atau menjajarkan diri dengan parti politik tertentu.

“Bagaimanapun, saya bukan katakan tidak lagi akan terus (menyatakan pandangan) sebab saya impulsif dalam hal itu. Bila perkara berlaku dan mungkin saya hanya mahu menyuarakan apa yang saya fikirkan.

“Benda seperti ini bukannya dirancang. Saya mungkin ada kes yang mempunyai kepentingan awam dan saya akan suarakan,” katanya.


Sebelum ini, ramai menyaksikan Ahli Parlimen bersikap di luar kawalan dalam Dewan Rakyat ketika beliau menjadi speaker, dengan ada yang berani menentang apabila diarahkan duduk atau diminta keluar dewan.

Azhar berkata, proses memilih speaker akan menjadi usul pertama dibentangkan sekiranya ada pertandingan, jika tiada, setiausaha akan mengumumkan pengganti, disusuli upacara angkat sumpah.

Antara nama yang dispekulasikan mengisi jawatan itu adalah bekas Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, Johari Abdul, yang dikatakan calon utama PH.

Menurut sumber, PH juga dijangka mencalonkan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau daripada DAP sebagai timbalan speaker, manakala BN mencadangkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Nor kekal sebagai timbalan speaker. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram