Trend kes baharu HIV dalam kalangan homoseksual di Kelantan meningkat



Kota Bharu: Trend kes baru HIV dalam kalangan homeseksual di Kelantan menunjukkan peningkatan sebanyak 33.2 peratus dalam tempoh lima tahun bermula 2016 sehingga 2021.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, berdasarkan data yang diperoleh, peningkatan ketara itu adalah sebanyak 15.9 peratus dari tahun 2016 kepada 49.1 peratus pada tahun 2021 termasuk dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, bagaimanapun kadar notifikasi HIV di Kelantan menunjukkan penurunan ketara iaitu 27.5 kes per 100,000 penduduk pada tahun 2010; 10.8 kes per 100,000 penduduk pada tahun 2016 dan 4.25 kes per 100,000 penduduk pada tahun 2021.


"Selain itu, perubahan landskap jangkitan HIV atau AIDS juga dilihat amat ketara dengan trend HIV baru dalam kalangan penagih dadah suntikan menurun dengan konsisten.

"Data prevalen (IBBS 2017) turut menunjukkan penurunan prelaven HIV dalam kalangan penagih dadah secara suntikan menurun daripada 44.7 peratus pada tahun 2014 berbanding 31 peratus pada tahun 2017," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2022 Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, meskipun penurunan kes HIV dan peningkatan rawatan yang dicapai belum mencukupi untuk negara mencapai matlamat mengakhiri AIDS.

"Justeru itu, Program Pencegahan dan Kawalan HIV/AIDS melalui uji dan rawat HIV perlu terus diperkukuhkan serta dipertingkatkan dengan memperkenalkan saringan HIV kendiri untuk menarik lebih ramai masyarakat dan pasangan menjalani saringan dan juga rawatan.


"Pada masa sama perkhidmatan Differentiated HIV Services For Key Populations (DHSKP) Model KK 2.0 yang dirasmikan Menteri Kesihatan Januari lalu turut dilaksanakan di Kelantan.

"Perkhidmatan DHSKP Model KK 2.0 yang dilaksanakan di Kelantan adalah kerjasama pintar kerajaan bukan kerajaan (GO-NGO) di antara Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dengan Persatuan Perantaraan Pesakit-Pesakit Kelantan (Sahabat) membabitkan Klinik Kesihatan (KK) Kota Bharu, KK Kemahang, KK Kuala Krai, KK Selising, dan KK Rantau Panjang.

"Pekerja Kesihatan Komuniti (PKK) Sahabat berperanan untuk membantu dalam mengesan kes berisiko dijangkiti HIV dalam kalangan komuniti untuk disaring dan dirujuk serta dirawat di fasiliti kesihatan," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan semua aktiviti pencegahan, kawalan, rawatan dan jagaan HIV dapat diperkukuhkan dalam menangani ketidaksamaan dan seterusnya merealisasikan matlamat mengakhirkan AIDS memerlukan kerjasama serta komitmen daripada semua pihak. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram