KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim meminta semua pihak tidak lagi membangkitkan isu keabsahan terhadapnya sebagai perdana menteri memandangkan usul undi percaya diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat semalam.
Anwar (PH-Tambun) menegaskan usul undi percaya itu dibuat atas kehendak Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang mencabar beliau membuktikan keabsahannya sebagai perdana menteri di Parlimen.
Justeru, tidak wajar isu undi percaya terus dibangkit dan dipersoalkan blok pembangkang.
“Arau (Shahidan Kassim) dan Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari) membangkitkan kenapa kemuka usul undi percaya. Kalau dibaca sendiri kenyataan Pagoh (Muhyiddin) yang mencabar saya supaya disahkan keabsahan, sebab itu saya lakukan walaupun menteri undang-undang (Azalina Othman Said), malah Yang di-Pertuan Agong sendiri menyatakan tidak ada keperluan kerana majoriti jelas.
“Tetapi saya memilih untuk tidak hanya melihat keperluan undang-undang atau Perlembagaan, tetapi keabsahan moral supaya kita dapat perintah (kerajaan).
“Jadi kita ‘move on lah’. Saya tidak berhajat sama sekali Kota Bharu (Takiyuddin Hassan) untuk bangkitkan lagi isu ini. Saya nak tumpukan perhatian, betulkan kepincangan dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan, elakkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.”
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Wang Masuk) 2022 di Dewan Rakyat.
Semalam, Anwar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai perdana menteri ke-10, selepas usul undi percaya itu diluluskan dengan undian suara.
Dalam sidang media semalam, Takiyuddin yang juga ketua whip PN berkata, blok pembangkang tidak menyertai undian suara usul undi percaya terhadap perdana menteri kerana tidak mahu terlibat dengan perjanjian persefahaman antara gabungan kerajaan, yang didakwanya tidak sah.
“Pendirian kita, kita tidak mengundi atau menyebut kata setuju atau tidak kerana kita tidak mahu terlibat dalam mengundi satu dokumen yang tidak sah.
“Kita tidak minta undi sebab kita tak mengundi, biasanya kalau kita nak tahu berapa undi, kita mintalah undi belah bahagi, tetapi kita tak minta dan pihak sana pun tak minta. Jadi, tiada angka terhadap usul undi percaya ini. Tiada 148 ke 160 ke…222 ke, tak tahu. Itu bukan urusan kami.”
Anwar berkata, isu nombor merujuk sokongan diterimanya juga tidak berbangkit dan semua pihak diminta memberi ruang kepada pentadbirannya meneruskan fungsi dan tanggungjawab membangunkan ekonomi negara.
“Kalau tidak dipersetujui, dibangkang dengan suara. Itu tidak berlaku. Kalau belum puas hati, diminta belah bahagi, itu juga tidak berlaku.
“Keabsahan penting supaya (kerajaan dapat) tumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih meyakinkan. Itu saya akan lakukan. Saya hargai sokongan yang diberikan untuk saya teruskan tanggungjawab ini.
“Seperti disebut Titiwangsa (Johari Abdul Ghani) supaya kita ada ruang untuk menumpukan perhatian setelah ada kestabilan politik dan menumpukan perhatian untuk menjana ekonomi yang lebih meyakinkan.”
Beliau turut meminta semua pihak berganding bahu membantunya membersihkan negara daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Hoi hoi ya hoi itu bukan saja melibatkan orang di sini, tetapi juga orang di sebelah sana (blok pembangkang) kerana di sana juga pernah menjadi perdana menteri, pernah menjadi menteri dan pernah meluluskan kontrak kepada anak menantu mereka.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel