DETIK CEMAS: Wanita nyaris dirogol ketika bersenam di taman



TEMERLOH – Seorang wanita mengalami detik mencemaskan apabila hampir dirogol seorang lelaki ketika beriadah di Taman Tasik Kubang Gajah di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yuoff berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu mangsa yang berumur 27 tahun sedang melakukan senaman di laluan pejalan kaki taman berkenaan.

“Mangsa telah didatangi seorang lelaki memakai pelitup muka yang cuba melakukan rogol ke atas mangsa.


“Bagaimanapun mangsa berjaya melepaskan diri daripada suspek dan kemudiannya hadir ke balai polis bagi membuat laporan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun keseksaan kerana cubaan melakukan rogol dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan polis telah membuat lakaran gambar suspek yang berkulit gelap dan berumur 30-an dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter.


“Pihak polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa menjalankan aktiviti riadah terutamanya di tempat sunyi seperti taman rekreasi taman tasik dan sebagainya terutama selepas lewat petang.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya beriadah secara berkumpulan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berlaku,”ujarnya. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram