Isham: Pemimpin Bersatu bersiap jadi 'kluster mahkamah 2.0'



Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu disaran supaya fokus pada pertuduhan yang bakal dihadapi pemimpin parti itu berhubung penyelewengan dana kerajaan berbanding mencampuri urusan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata Ahmad Faizal tidak perlu sibuk dengan urusan Zahid kerana pelantikan jawatan timbalan perdana menteri merupakan budi bicara perdana menteri untuk menentukan.

"Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi 'kluster mahkamah 2.0' kini akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia," katanya pada satu kenyataan hari ini.


Terdahulu hari ini, Ahmad Faizal menyarankan Zahid sepatutnya direhatkan daripada tugasnya sebagai timbalan perdana menteri sementara menunggu keputusan kes mahkamah terhadapnya.

Katanya, ini kerana jawatan Zahid dalam kerajaan semasa dia menjalani prosiding rasuah memberi tekanan yang tidak wajar kepada mahkamah.

"Bagi memastikan perbicaraan kes di mahkamah diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan, Ahmad Zahid Hamidi digesa direhatkan dari tugas sebagai timbalan perdana menteri," kata Faizal pada satu kenyataan.

Bekas menteri besar Perak itu mengulas permohonan Zahid kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini supaya pasportnya dikembalikan secara kekal kepadanya bagi membolehkannya menjalankan tugasan rasmi sebagai timbalan perdana menteri.


Dalam pada itu, Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, berkata ketika Bersatu berada dalam kerajaan, pemimpin parti itu banyak terlepas daripada pendakwaan kes jenayah apabila wakil rakyatnya bertindak melompat parti.

"Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah?

"Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini.

"Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan di dunia atau di akhirat. Bersiaplah," katanya. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram