Kelantan dakwa berjaya tunai lebih 90 peratus manifesto #PRU14



Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mendakwa kerajaan negeri Kelantan merekodkan kejayaan menunaikan manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahap melebihi 90 peratus.

Menurutnya, pelaksanaan manifesto pentadbiran PAS itu merentasi 14 tawaran menerusi dasar membangun bersama Islam yang menjadi prinsip pemerintahan kerajaan negeri.

"Tahun 2023 merupakan penggal terakhir bagi dewan undangan negeri (DUN) Kelantan ke-14 yang bakal menyaksikan cabaran-cabaran tersendiri terutamanya dalam kelembapan sektor ekonomi.

"Namun kerajaan negeri Kelantan kekal stabil dalam menguruskan negeri dan kebajikan rakyat. Ini dalah berkat keutuhan prinsip perjuangan PAS dan sokongan rakyat yang terbentuk hasil pemahaman dan penhayatan prinsip perjuangan.


"Pada penghujung penggal ini kita juga menyaksikan pencapaian manifesto PRU14 berada pada tahap yang cemerlang melebihi 90 peratus merentasi kesemua 14 tawaran.

"Menerusi dasar membangun bersama Islam tawaran manifesto yang dilaksanakan melalui Hala Tuju Portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) 2018-2023," katanya ketika menyampaikan amanah tahun baru 2023 di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Pasir Pekan berkata, dengan pencaiaan tersebut pihaknya mengharapkan bahawa dasar yang dibentuk dan dinyatakan selama ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, bagi mendepani cabaran 2023, kerajaan negeri telah mengekalkan tema 'Kelantan maju, rakyat sejahtera' yang ditunjangi melalui empat pendekatan iaitu kepimpinan rabbani, kepimpinan berintegriti, kepimpinan maknusiawi dan kepimpinan berprestasi.

"Kelantan sebagai sebuah kerajaan negeri berazam akan terus berusaha untuk menambah baik ke arah pentadbiran membangun bersama islam secara menyeluruh.


"Sepanjang tahun 2022 kita berjaya mengekalkan prestasi cemerlang kewangan negeri serta peningkatan kutipan hasil sehingga mencapai tahap 99.1 peratus, peningkatan RM209.22 juta kepada RM908.70 juta," katanya.

Ahmad turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada penerusan dasar membangun bersama Islam.

Maka katanya, menjadi kewajipan semua untuk mempertahankan kerajaan sedia ada demi kelangsungan dasar berkenaan.

"Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dalam urusan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan selaras dengan konsep federalsme.

"Saya berharap kerajaan pada hari ini akan mengekalkan hubungan ini demi kepentingan rakyat," jelasnya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram