Melaka mungkin wajib semula pemakaian pelitup muka



PETALING JAYA: Kerajaan Melaka mungkin mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam, kawasan tertutup dan sesak sekiranya kes Covid-19 terus menunjukkan trend peningkatan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Jabatan Kesihatan Negeri akan membuat pemantauan dalam tempoh dua minggu sebelum memutuskan peraturan itu akan dilaksanakan semula.

Katanya, langkah itu susulan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.


“Sudah pasti Melaka mengambil maklum dan serius bilangan kes yang bertambah.

“Kita tidak akan teragak-agak menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan kawasan orang ramai,” katanya menurut laporan Sinar Harian, sambil turut menggalakkan orang ramai mendapatkan dos penggalak bagi mengekang penularan wabak itu.

Sebelum ini, terdapat desakan supaya kerajaan menyekat kemasukan pelancong, terutama dari China susulan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.


Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam memaklumkan dua varian Covid-19, iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80% daripada varian menular di China ketika ini dikesan di Malaysia.

Setakat 31 Dis lalu, katanya, terdapat 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram