Orang Melayu masih belum jadi ‘tuan’, mereka masih miskin – Dr M



KUALA LUMPUR – Orang Melayu tidak boleh beranggapan diri mereka adalah ‘tuan’ dalam negara ini kerana mereka masih lagi miskin.

Dalam hantaran terbaharu mengenai ‘Ketuanan Melayu’, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kaum Melayu hanya boleh menjadi ‘tuan’ apabila mereka tidak lagi bekerja dengan ‘majikan’.

Dr. Mahathir menegaskan, jika ingin menjadi ‘tuan’ orang Melayu perlu menjadi ‘majikan’.

“Ketuanan Melayu. Benarkah kita tuan. Apabila kita miskin. Apabila kita bekerja dengan majikan. Kita tuankah? Atau majikan kita tuan?


“Kalau kita nak jadi tuan, kitalah yang jadi majikan. Tetapi hari ini kita bukan majikan,” kata Dr. Mahathir.

Pengerusi Gerakan Tanah Air itu berkata, orang Melayu boleh menjadi ‘tuan’ namun ia tidak mudah dan perlu berusaha.

Tegas beliau, orang-orang Melayu memerlukan keberanian untuk menjadi ‘tuan’.

“Mungkinkah kita jadi Tuan. Ya. Memang mungkin. Tetapi banyak yang perlu lakukan. Mampukah kita lakukan, memang mampu” Hanya yang diperlukan keberanian. Beranikah kita, tepuk dada, tanya selera,” tegasnya.


Istilah Ketuanan Melayu tidak lagi bergema selepas beberapa pihak mengaitkannya sebagai satu bentuk perkauman dan diskriminasi terhadap kumpulan tertentu.

Terdapat pihak termasuk orang Melayu yang berpandangan bahawa konsep ketuanan Melayu wujud disebabkan pegangan orang Melayu yang taksub.

Ini termasuk Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam yang berkata, istilah itu wujud ketika negara ini bergelar Tanah Melayu sekali gus membuatkan orang Melayu menggunakan konsep berkenaan bagi melindungi kepentingan bangsa berkenaan.

Tambahnya, konsep sedemikian tidak lagi relevan terutama sekali selepas negara merdeka. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram