PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian tol pada Jumaat dan Sabtu ini sempena Tahun Baharu Cina.
Anwar berkata, semua jenis kenderaan di seluruh negara akan mendapat pengecualian itu.
“Berita baik, untuk Tahun Baharu Cina, menteri kerja raya dan menteri pengangkutan mengambil inisiatif bincang dengan dua syarikat konsesi dan setuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 (Januari),” katanya dalam sidang media di Putrajaya.
Sambutan Tahun Baharu Cina jatuh pada Ahad.
Anwar turut menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati dan mematuhi undang-undang supaya kemalangan dapat dielakkan.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata seramai 2,000 pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditempatkan untuk operasi dan kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, tujuh kesalahan trafik tidak boleh dikompaun sepanjang musim perayaan, dan mereka yang ditangkap melakukan kesalahan itu akan dibawa ke mahkamah, bukannya didenda.
Join our Telegram Channel