Polis buru Agnes Cheong, samakan Melayu bertudung dengan anjing



Nilai – Polis sedang mengesan seorang pemilik akaun Facebook dengan nama Agnes Cheong selepas membuat hantaran berbaur penghinaan kepada agama dan kerabat-kerabat Diraja.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata pihaknya sedang mengesan pemilik akaun Facebook dengan nama Agnes Cheong setelah menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada Selasa jam 6 petang.

“Sekitar November tahun lepas, semasa pengadu sedang melayari aplikasi Facebook, mendapati ada satu hantaran oleh pemilik akaun dikenali sebagai Agnes Cheong telah menulis perkataan serta menampilkan gambar-gambar yang menyentuh isu-isu sensitif.”


“Antaranya adalah agama, perkauman, kerabat-kerabat Diraja dan menggelar anjingnya yang menerima pingat sebagai Datuk Wira,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan yang sama, polis berkata, pemilik akaun tersebut telah membuat satu lagi hantaran Facebook yang bertarikh 1 Disember lepas di mana dia telah menampilkan gambar seekor anjing yang sedang memakai tudung serta menggambarkan anjing tersebut sebagai seorang Melayu.

“Hasil siasatan mendapati hantaran tersebut telah dipadam. Pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik akaun untuk siasatan lanjut,” kata Superintendan Abdul Malik.


Berikutan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.

Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai tidak memuat naik ataupun membuat hantaran di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran sehingga menyebabkan pecah keamanan. – Sinar





Join our Telegram Channel
Telegram