‘Saya takkan tunduk, patah semangat’, respon KJ selepas dipecat Umno



PETALING JAYA: Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada parti malam ini berkata, beliau sesekali tidak akan tunduk, patah semangat dan tidak kecewa dengan keputusan itu.

“Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Unbowed (tak tunduk), unbent (patah semangat), unbroken (tak kecewa),” katanya di Twitter.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Menara Dato Onn malam ini memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar.


Setiausaha Agung Ahmad Maslan dalam kenyataan berkata mereka “dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15”.

Namun, tiada huraian lanjut kesalahan yang dikatakan itu.

Selain itu, pemimpin Umno yang digantung keahlian selama enam tahun ialah Hishammuddin Hussein, Maulizan Bujang, Salim Sharif dan Shahril Hamdan.

Semalam Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, nasib Khairy dalam parti itu dijangka diputuskan dalam mesyuarat MKT malam ini.


Katanya, bukan sahaja soal status Khairy akan dibincangkan, sebaliknya nasib beberapa individu lain yang dilihat mensabotaj parti pada PRU15 turut akan diputuskan MKT.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, yang sebelum ini mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada PAU 2022.

Menerusi satu video di TikTok, Khairy berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan “import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan.

Khairy sebelum ini mengkritik gesaan untuk menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan rakan-rakan dalam partinya, dan menyifatkannya sebagai “kegilaan” dan cubaan untuk menyekat demokrasi. – FMT 



Join our Telegram Channel
Telegram