Siti Bainun sebak, keseorangan, semua peguam tarik diri



KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella kelihatan sebak di Mahkamah Sesyen di sini hari ini apabila dua lagi peguam yang mewakili kesnya turut menarik diri.

Dengan penarikan dua peguam tersebut iaitu Asiah Abd. Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan itu, bermakna pengasas Rumah Bonda ‘keseorangan’ apabila tidak lagi mempunyai peguam bela dalam kes bicara bela dirinya.

Semalam tiga peguam iaitu Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur ‘Aminahtul Mardiah Md. Nor turut menarik diri dalam kes tersebut.

Ketika prosiding, Hakim Izralizam Sanusi memaklumkan kepada Siti Bainun bahawa pihak mahkamah ada menerima notis penarikan diri kedua-dua peguam itu malam tadi.


“Saya dapat notis (penarikan diri) itu malam tadi pukul 9 malam. Saya bagi tarikh, kamu kena lantik peguam (peguam baharu) secepat mungkin,” kata hakim itu.

Pada masa sama, Hakim Izralizam turut menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam yang lebih bertanggungjawab untuk mengendalikan kesnya.

“Sekadar seorang pun jika boleh kendali tiada masalah..kalau banyak firma pun berlaku macam ini (tarik diri) tidak beri manfaat kepada kamu juga. Bila seorang tarik diri, ‘team’ (kumpulan) juga tarik diri.

“Kalau dapat seorang pun sekiranya dia memadai dan bertanggugjawab dan boleh mengendalikan kes dengan baik… awak lantik,” kata hakim itu.


Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 26 Januari ini bagi sambung bicara dan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung bermula esok sehingga Jumaat ini dilapangkan.

Semalam Kosmo! melaporkan tiga peguam yang mewakili Siti Bainun telah menarik diri.

Mohammad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis pada Jumaat lalu manakala Nur ‘Aminahtul membuat permohonan menarik diri secara terbuka semalam. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram