KUALA LUMPUR: Lebih 90 peratus perwakilan UMNO didakwa menyokong usul tambahan supaya tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata proses undian usul tambahan itu dilaksanakan dengan melihat jumlah perwakilan yang berdiri dan mengangkat tangan, seperti diminta Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Ketika proses undian berjalan, katanya, lebih 90 peratus perwakilan berdiri dan mengangkat tangan sebagai tanda menyokong usul supaya dua jawatan tertinggi UMNO itu dipertandingkan, manakala hanya sebilangan kecil perwakilan yang tidak berdiri.
"Alhamdulillah kita lihat apabila usul dikemukakan untuk undian, lebih 90 peratus perwakilan memberi sokongan supaya pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dilaksanakan demi mengekalkan solidariti dalam parti dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Saya bersyukur kerana kami sendiri di Terengganu akan menghadapi PRN tak lama lagi. Kami kalah di Terengganu, Kelantan dan Kedah dengan kosong (kerusi Parlimen akibat politik wang (dalam Pilihan Raya Umum Ke-15).
"Kita harap dengan keputusan ini membawa hala tuju baharu untuk melihat UMNO bangkit kembali, menyuburkan penyatuan antara kita dan menyokong enam negeri dlm PRN akan datang," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, usul tambahan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diluluskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, sebelum sesi penggulungan.
Usul itu diluluskan selaras dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.
Cadangan usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan usul itu tidak melanggar Perlembagaan UMNO seperti didakwa beberapa pihak, sebaliknya peraturan parti membenarkan usul tambahan dibuat, malah ia dipersetujui Pengerusi Tetap UMNO.
Beliau percaya usul tambahan itu penting untuk diluluskan kerana UMNO berisiko berdepan PRN dalam keadaan berpecah jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibenarkan untuk dipertandingkan.
"Jika bertanding, akan bergaduh dan sibuk dengan pertandingan dua jawatan ini. Jadi macam mana kita nak fokus pada PRN di enam negeri.
"Kalau pemilihan dua jawatan ini, akan ada yang kalah dan menang. Ada yang merajuk, ada yang sabotaj. Jadi tiada penyatuan.
"Kita tahu ada yang kecewa (dengan kelulusan usul tambahan), tapi hanya sebahagian kecil yang kecewa. Mana ada parti yang boleh puaskan hati semua pihak," katanya.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan mengatakan usul tambahan itu dirancang pimpinan tertinggi parti, sebaliknya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri pernah menolak daripada usul itu dibawa dalam PAU 2022.
"Semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang lalu, ada pandangan supaya tiada pertandingan dua jawatan ini untuk pastikan parti tak berpecah dan UMNO boleh fokus bersaing di enam negeri dalam PRN.
"Ketika itu, Presiden UMNO menolak cadangan itu dengan mengatakan beliau sedia dicabar untuk suburkan demokrasi dalam UMNO, dan MKT buat ketetapan usul itu tidak termasuk dalam PAU 2022.
"Namun, tiba-tiba perwakilan Negeri Sembilan mengemukakan usul tambahan. Ia menimbulkan polemik dan ada yang dakwa UMNO ingin matikan demokrasi dalam parti. Saya nafikan, ini tak berlaku," katanya. – Bharian
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel