'Terima kasih beri kepercayaan kepada saya dan Tok Mat'



Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan memastikan Umno terus kukuh walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

Perhimpunan Agung Umno 2022, hari ini meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden disandang Datuk Seri Mohamad Hasan dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini.

Usul itu termasuk semua usul yang dicadang dan dibahaskan dalam perhimpunan berkenaan diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan.


"Terima kasih kepada semua perwakilan yang memberikan kepercayaan kepada saya dan Tok Mat (Mohamad) untuk terus menakhodai parti keramat ini.

"InsyaAllah kami berdua akan berganding bahu bagi terus membawa bahtera Umno ini untuk tempoh penggal berikutnya biarpun gelombang, badai dan ribut taufan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.


Semalam, Perhimpunan Agung Umno hangat apabila perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin pada ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram