Ahmad Maslan tak tanding naib presiden, fokus lawan Hasni Ketua Umno Pontian



Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tidak akan bertanding jawatan naib presiden bagi pemilihan Umno bulan depan.

Dia bagaimanapun dilaporkan akan mempertahankan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga mencabar bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad bagi kerusi ketua Umno Pontian.

“Ya, saya mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian dan borang pencalonan akan dihantar petang esok (petang ini) di Pejabat Umno Bahagian Pontian,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.


Ahmad merupakan timbalan kepada Hasni yang telah memimpin Umno Pontian sejak 2001.

Berhubung keputusan untuk tidak merebut jawatan naib presiden, Ahmad berkata ia berikutan sudah ada tiga calon dari Johor, iaitu Hasni, Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

“Kalau saya masuk akan menjadi empat orang, dari segi layak, saya memang layak, kerana telah lama dalam Umno, pernah menjadi Ketua Penerangan Umno dan sekarang Setiausaha Agung Umno.


“Saya perlu melihat realiti, jika terlalu ramai dari satu negeri, peluang untuk menang adalah tipis dan ia akan memecah undi. Pihak di luar sana pun akan melihat mengapa ramai sangat calon dari Johor,” katanya lagi.

Turut merebut jawatan naib presiden adalah Mahdzir Khalid yang merupakan penyandang, Ketua Umno Titiwangsa Johari Abdul Ghani, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Ahli MKT Reezal Merican Naina Merican. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram