Armand dipanggil mengadap Lembaga Disiplin UMNO



KUALA LUMPUR – Bakal berdepan dengan Lembaga Disiplin UMNO Khamis ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Armand Azha Abu Hanipah bersedia dan reda menerima apa sahaja bentuk hukuman.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan, Ketua UMNO Bahagian Subang itu menjelaskan, di sebalik keakuran dengan keputusan nanti, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai ujian dan dugaan sepanjang menjadi ahli parti sejak 1995.

“Saya dipanggil mengadap Lembaga Disiplin parti Khamis ini untuk memberi penjelasan berhubung beberapa tindakan saya sebelum ini yang dikatakan melanggar disiplin parti.


“Saya reda dan harap semua ahli UMNO dan penyokong saya bertenang. Kita berikan keutamaan kepada parti untuk siasat, teliti dan buat keputusan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, dalam kenyataannya, beliau menegaskan, lawan dan menang (mesti) cara gentleman.

Beliau yang baru-baru ini mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam sesi pemilihan penggal ini berkata, ahli akar umbi parti akan menolak jika ada pihak yang mahu menang dengan cara teknikal.


Menurut Armand, walaupun pemimpin datang dan pergi, namun parti harus kekal untuk terus membina kekuatan serta keyakinan ahli parti dan rakyat pada masa depan.

“Saya dengan perasaan rendah diri mohon sahabat-sahabat berdoa buat saya serta rakan-rakan lain untuk terus istiqamah dan diberikan pengadilan yang adil, insya-Allah,” katanya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram