Dipecat Umno, Noh sedia berceramah di pentas PN



KUALA SELANGOR: Selepas dipecat bulan lalu, bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar akan menjadi “penceramah bebas” dan sedia berucap di pentas Perikatan Nasional (PN) sekiranya dijemput.

Namun, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, buat masa ini, beliau tiada perancangan menyertai parti lain.

“Saya berehat sekarang, tetapi saya boleh sahkan jadi penceramah bebas. Kalau Bersatu jemput, saya akan datang, kalau PAS jemput pun saya datang.


“Saya akan bercakap perkara sebenarnya,” katanya ketika menghadiri majlis solidariti dengan kira-kira 200 penyokong dan ahli veteran Umno Bahagian Tanjong Karang yang diketuainya sebelum ini. Beliau juga wakil rakyat enam penggal di kerusi Parlimen itu.

Ditanya jika pemimpin PN mempelawanya menyertai gabungan itu, Noh berkata, beliau “berkawan dengan semua orang” dan pernah berbincang dengan wakil PAS bagi mengelakkan pertembungan dengan Umno pada PRU15.

Sementara itu, Noh mendakwa Habibah Yusof, calon BN bagi kerusi Tanjong Karang pada PRU15 memfailkan aduan terhadapnya kepada pucuk pimpinan parti.

Noh menggesa ahli Umno bahagian itu menyingkirkan “pengkhianat” dari kawasan berkenaan.


“Terimalah kekalahan, mengapa hendak buat laporan pula? Bukan hanya kamu yang kalah, tetapi semua (calon Umno) kalah di Selangor,” katanya.

Habibah tewas kepada calon PN, Zulkafperi Hanapi dengan majoriti 2,180 undi pada PRU15.

FMT sudah menghubungi pembantu Habibah untuk mengulas dakwaan Noh. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram