Hari pertama KJ sebagai DJ Hot FM



Petaling Jaya: Suasana ceria dan berbeza dirasai di konti radio Hot FM apabila buat pertama kalinya, suara bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkumandang sebagai penyampai bersama Johan dan AG dalam segmen Bekpes Hot dari jam 6 hingga 10 pagi, hari ini.

Khairy atau mesra dipanggil KJ memulakan tugasnya secara rasmi bermula hari ini selepas mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM menerusi temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu.

Keputusan KJ menyertai radio Media Prima Audio (MPA) mencetuskan kegembiraan buat pendengar Hot FM yang mahu melihatnya merealisasikan impian mereka sebagai penyampai radio.

"Saya terima tawaran daripada Hot FM untuk menjadi DJ kerana percaya yang pertamanya, sudah pasti Hot FM adalah stesen radio yang terbaik di Malaysia. Dengan bisnes yang sangat-sangat bernilai untuk kita.


"Yang kedua, saya melihat bahawa ini adalah platform yang terbaik untuk menyampaikan informasi dan juga maklumat dengan isu-isu semasa.

"Walaupun dalam Bekpes Hot kita banyak bergurau, tetapi saya nak bawa satu elemen di mana banyak perkara isu-isu semasa dapat kita bincang dengan kaedah yang bersahaja," katanya.

Menurutnya, perbincangan itu tidak terlalu serius tetapi berguna untuk menambah sedikit elemen ilmu dan juga elemen isu semasa dan berita kepada program terbabit. Ditanya berkenaan pengalaman pertamanya bersiaran di konti, KJ menyifatkannya sebagai okey dan tidak teruk.

"Chemistry (keserasian) itu ada dengan AG, Johan. Tapi mungkin akan jadi lebih lancar dalam minggu-minggu yang akan datang.


"Kita masih lagi tengah cari chemistry yang terbaik dan juga rentak terbaik. Tapi bagi saya pengalaman saya hari ini okey alhamdulillah.

"Taklah rasa gemuruh sangat dan memang bersahaja dengan AG dan Johan. Ada persefahaman yang baik," katanya.

Berkenaan jadual tugasannya, KJ berkata, dia mempunyai banyak kerja lain dah sudah berbincang dengan pengurusan MPA.

"Saya pun tak dapat buat setiap hari. Kita setuju akan buat seminggu sekali pada hari Isnin jam 8 hingga 9 pagi, di mana saya akan bagi kupasan mengenai isu semasa dalam minggu tersebut termasuklah isu politik, isu ekonomi dan sebagainya.

"Jadi Bekpes Hot ini kita nak jadikannya sebagai satu show yang lebih menyampaikan maklumat yang berfaedah kepada pendengar," katanya.


Dia turut menjelaskan persediaan yang dilakukan sebelum bergelar penyampai radio adalah memantapkan suaranya.

"Tiada rahsia, banyak dengar radio. Saya pun banyak dengar radio pagi sebab radio ini satu medium yang saya rasa masih lagi penting.

"Ada yang kata radio ini tak penting lagi tapi bagi saya radio ini penting sebab radio ini sebenarnya kita dapat pendengar yang captive, maksudnya dia tak boleh nak pergi mana.

"Dia ada dalam kereta dan dia terpaksa dengar suara kita. Jadi macam manapun sebagai bekas menteri, bekas ahli politik. Ini adalah satu platform yang baik sebab kita boleh sampaikan maklumat dan pandangan kita kepada pendengar yang memang tiada kerja lain dengar kita," katanya.


Perubahan karier sebagai ahli politik kepada penyampai radio pula tidak menjadi beban buat KJ kerana baginya kemahiran asasnya sama.

"Kemahiran asasnya sama, bercakap. Orang politik bercakap, DJ pun cakap. Sekarang ini saya tengah cari macam mana saya boleh guna pengalaman sebagai ahli politik selama ini untuk membawa isu-isu yang agak berat tapi dengan cara yang lebih mudah difahami oleh rakyat," katanya.

KJ berkata, agak melucukan apabila anaknya menyangka dia akan menjadi 'rapper' apabila menjadi DJ.

Dia juga akan terbuka menerima pujian atau kritikan masyarakat apabila bergelar penyampai radio kerana sudah merasainya sebagai orang politik. – Hmetro











Join our Telegram Channel
Telegram