Ismail Sabri sahkan tak pertahan jawatan naib presiden Umno



Memandangkan tempoh penamaan calon bagi pemilihan Umno semakin menghampiri tarikh akhir, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan dia tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden parti itu.

Dia berkata demikian ketika dihubungi Malaysiakini petang tadi.

"Ya," jawab Ismail melalui mesej teks ketika diminta mengesahkan bahawa dia tidak bertanding untuk penggal seterusnya.

Bagaimanapun, ahli parlimen Bera itu tidak mahu mengulas punca keputusan itu dibuat, tetapi berkata dia akan mengeluarkan kenyataan media tidak lama lagi.


Umno sedang mengadakan pemilihan bagi jawatan naib presiden, jawatan majlis tertinggi dan jawatan jawatankuasa bahagian pada 18 Mac ini manakala tarikh akhir pencalonan telah ditetapkan pada 5 petang hari ini.

Parti itu mempunyai tiga jawatan naib presiden. Setakat ini, lapan pemimpin parti telah menyerahkan borang pencalonan mereka untuk bertanding, termasuk dua penyandangnya Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid.

Enam pemimpin lain yang bertanding untuk jawatan itu ialah Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Reezal Merican Naina Merican, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani, dan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said.


Perhimpunan agung Umno bulan lepas menerima pakai ketetapan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden parti. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram