Kaki wanita warga emas hancur dipotong akibat digilis forklift



Bayan Lepas: Suami kepada wanita warga emas yang terbabit kemalangan dengan trak angkat susun (forklift) di Kompleks MASKargo, di sini, semalam, reda apabila kaki kanan isterinya terpaksa dipotong selepas hancur digilis jentera berkenaan.

Marzuki Omar, 68, berkata, keputusan itu diambil oleh doktor berikutan kecederaan parah kaki kanan isterinya, Jami @Jumi Shariff, 75.

Katanya, isterinya sudah menjalani pembedahan pada kaki kanan di Hospital Pulau Pinang (HPP), malam tadi.

"Saya dimaklumkan doktor bahawa kaki kanannya dalam keadaan parah dan terpaksa dipotong hingga ke paras betis.


"Pada masa ini, saya diberitahu bahawa operasi itu hanya membabitkan kaki kanan sahaja dan maklumat lanjut kelak akan diberitahu doktor," katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa selepas ia tular di media sosial.

Video berdurasi 15 saat itu memaparkan mangsa dilanggar trak angkat susun berkenaan ketika berjalan di kawasan kargo.

Mangsa adalah pekerja di bahagian pembersihan di kompleks itu dan tinggal di Sungai Burung, Balik Pulau, bersama suami, manakala anaknya tinggal di Kedah.


Mengulas lanjut Marzuki berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa isterinya pada 1.30 tengah hari semalam.

Marzuki berkata, sejak bersara, menjadi rutinnya bagi mengambil Jami pulang dari kerja pada 12 tengah hari .

"Agak harian kenapa Jami tidak datang dan kemudian saya ambil keputusan untuk pulang ke rumah sebelum telefonnya.

"Namun saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada kakitangan tempat isteri bekerja yang memaklumkan bahawa dia ditimpa kemalangan dan terus bergegas ke hospital," katanya lagi. – Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram