Kertas Pandora: SPRM panggil bekas menteri era Dr M, anak bekas PM



SPRM telah merekodkan kenyataan seorang bekas menteri berhubung kekayaan di luar negara sebagaimana didedahkan kebocoran Kertas Pandora yang dilaporkan pada 2021, menurut laporan media.

Utusan Malaysia dan New Straits Times melaporkan kenyataan bekas menteri itu direkodkan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam, manakala seorang anak bekas perdana menteri pula telah dipanggil untuk disoal siasat hari ini.

Sumber yang tidak dinamakan dilaporkan memberitahu media tempatan ini bahawa siasatan masih di peringkat awal dan lebih ramai orang mungkin akan disoal berhubung Kertas Pandora tidak lama lagi.

“Aliran wang kepada pelaburan asing dan kemudian penemuan laporan Pandora Papers sedang dikaji dengan teliti dan siasatan sedang dijalankan untuk melihat sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah seperti yang dinyatakan dalam laporan antarabangsa itu,” kata sumber itu.


Individu yang dipanggil untuk disoal siasat tidak dinamakan, seperti amalan biasa berhubung orang yang belum didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, bekas menteri itu digambarkan dalam laporan berkenaan sebagai menteri kanan ketika era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Dilaporkan bekas menteri itu antaranya diminta menjelaskan aliran wang dan pelaburan ke dalam 12 syarikat luar pesisir yang berdaftar atas namanya dan ahli keluarganya di luar negara.

Penyiasat juga dilaporkan sedang menyiasat sama ada dana itu datang daripada projek kerajaan atau tidak.

Kertas Pandora merujuk kepada kebocoran dokumen kewangan dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat shell dan firma pemegang amanah di kawasan cukai di seluruh dunia.


Dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya, termasuk Malaysiakini.

Antara ahli politik Malaysia yang didapati menyimpan kekayaan mereka di tempat bebas cukai termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, dan beberapa yang lain.

Mereka masing-masing berkata pada 2021 bahawa akaun berkenaan telah digunakan untuk tujuan yang sah.

Mempunyai entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, tetapi dalam beberapa keadaan, amalan itu dikaitkan untuk mengelak atau menghindari cukai. Dalam kes lain, ia cubaan untuk mengekalkan kerahsiaan atas pelbagai sebab.

Pendedahan Pandora Papers telah membawa kepada gesaan penyiasatan dan lebih ketelusan. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram