Polis, Bank Negara dan LHDN turut siasat Kertas Pandora



Selain SPRM, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis turut menyiasat kandungan bocor melalui Kertas Pandora pada 2021.

Menteri undang-undang Azalina Othman Said berkata siasatan masih dijalankan dan memerlukan maklumat daripada pihak luar negara. 

Dalam jawapan bertulis di parlimen hari ini, Azalina juga mengesahkan siasatan dibuat terhadap sesetengah individu yang dinamakan dalam Kertas Pandora.

Siasatan itu berkaitan isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. 


Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (Pakatan Harapan-Bukit Bintang) samada kerajaan akan membuka semula siasatan terhadap kertas pandora.

Kertas Pandora merujuk kepada kebocoran maklumat kewangan dan rekod-rekod lain daripada 14 perkhidmatan luar persisir yang menubuh dan menguruskan syarikat cengkerang serta amanah di kawasan besar cukai di seluruh dunia.

Dokumen-dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya, termasuk Malaysiakini.

SPRM dilapor merakamkan kenyataan seorang bekas menteri dan anak seorang bekas perdana menteri.


Antara individu dinamakan dalam Kertas Pandora ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi,  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Bagaimanapun mereka sebelum ini berkata akaun mereka digunakan untuk urusan yang sah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang pada 2021 mengusulkan supaya perkara itu dibahaskan di parlimen tetapi ditolak oleh speaker ketika itu Azhar Azizan Harun. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram