MyJPJ hanya pilihan, tak wajib muat turun – Loke



Pemilik kenderaan persendirian tidak wajib memuat turun aplikasi MyJPJ, walapun Kementerian Pengangkutan melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, aplikasi itu hanyalah salah satu pilihan untuk pemilik kenderaan mendapat salinan digital Lesen Kenderaan Bermotor (LKM), atau lebih dikenali sebagai ‘roadtax', dan lesen memandu mereka.

Namun, katanya, mereka tidak akan disaman jika gagal menunjukkan salinan digital 'road tax' dan lesen mereka.

Pihak penguatkuasa boleh mengesahkan status road tax dan lesen melalui sistem dalam gajet penguatkuasaan," katanya dalam penjelasan di Facebook semalam.


Dia berkata mereka yang tidak memiliki telefon pintar atau akses internet tidak perlu bimbang kerana mereka masih boleh mendapatkan salinan fizikal LKM dan lesen memandu seperti biasa.

Semalam Loke mengumumkan pelekat LKM tidak lagi perlu dipamerkan pada kenderaan persendirian milik rakyat Malaysia.

"Mulai 10 Februari 2023 (semalam), pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) danLMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis (secara in-house),” katanya.

Bagaimanapun, buat masa ini ia masih perlu dipamerkan pada kenderaan syarikat, milik warga asing serta kenderaan komersial termasuk pengangkutan awam.


Dalam penjelasannya, Loke juga mengambil maklum bahawa ramai yang masih memiliki persoalan dan sebarang proses perubahan akan mengambil masa untuk disesuaikan.

"Ada pihak yang tidak akan setuju dengan perubahan tersebut. Saya menghormati semua pandangan dan cuba menguruskan perubahan sebaik mungkin.

"Saya bersama pasukan saya di MOT dan JPJ akan cuba memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul dalam proses perubahan ini," katanya lagi. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram