Naib Presiden Bersatu tinggalkan parti sertai Umno



Seorang bekas pemimpin kanan Bersatu yang pernah menjadi exco kanan Melaka diterima untuk menyertai Umno secara bersyarat malam tadi.

Menurut sumber permohonan Mohd Rafiq Naizamohideen itu dibuat beberapa minggu lalu namun diteliti dalam mesyuarat pengurusan Umno sebelum diajukan kepada majlis kerja tertinggi (MKT) parti berkenaan.

"Dia diterima untuk menyertai semula Umno tetapi hanya akan berkuat kuasa pada 18 Mac iaitu selepas pemilihan parti berakhir," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber dalam MKT itu memberitahu Mohd Rafiq memohon untuk menyertai Umno Tangga Batu.


Sebelum ini nama Mohd Rafiq dikenali ramai apabila menjadi salah seorang pemimpin utama Bersatu. Bersama parti itu dia pernah menjadi salah seorang naib presiden.

Selepas memenangi kerusi dewan undangan negeri bagi kawasan Paya Rumput dalam PRU ke-14, dia dilantik menjadi exco Melaka yang menjaga portfolio perindustrian, perdagangan dan pelaburan.

Apabila kerajaan bertukar dan PN terbentuk, Mohd Rafiq dilantik sebagai pengerusi gabungan itu di Melaka.

Apabila Melaka mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada 20 Nov 2021 dia bertanding di kawasan Telok Mas namun gagal mempertahankan kerusi yang sebelum ini dimenangi Bersatu itu dengan majoriti 2,076 undi.


Mohd Rafiq kalah kepada calon BN, Abdul Razak Abdul Rahman.

Dalam PRU ke-14 dia memenangi kerusi Paya Rumput dengan mengetepikan Abu Bakar Mohamad Diah dari BN dan Rafie Ahmad (PAS) dengan kelebihan 4,259 undi.

Kira-kira 11 bulan selepas PRN Melaka berlangsung Mohd Rafiq mengumumkan keputusannya untuk keluar Bersatu selepas tidak ditawarkan menjadi calon bagi PRU ke-15.

Malaysiakini pada 30 Okt melaporkan dia pada awalnya menyasarkan untuk bertanding bagi kerusi parlimen Tangga Batu namun ditawarkan kawasan lain yang kemudian ditolaknya.

Sejak itu dia tidak menganggotai mana-mana parti. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram